Gambar: Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 4 MEI 2011: Akademi Fantasia Musim 9 (AF9) telah pun memasuki minggu kelima. Pelbagai drama, ceritera, gimik dan warna-warni kontroversi telah pun menghiasi musim terakhir program realiti nyanyian terunggul negara ini.
Selaku portal hiburan rasmi AF9, murai.com.my turut membawakan pelbagai cerita sensasi tentang AF9. Salah satu elemen paling menarik yang menjadi perbualan di kalangan pengikut atau pelawat portal ini adalah ulasan dari dua blogger pengkritik rasmi AF9 di Murai, Badrul Hashim (BH) dan Kudsia Kahar (KK).
Menariknya, KK adalah Pengurus Besar Strategi Korporat dan Pembangunan Industri AMP yang dulunya pernah menjadi Pengurus Besar Era.fm manakala BH pula adalah bekas kakitangan AMP sendiri.
Dua nama besar industri hiburan tempatan ini kembali mengulas persembahan konsert mingguan para pelajar setelah kali pertama bekerjasama dengan murai.com.my sewaktu Astro menyiarkan AF7 kira-kira dua tahun lalu. Dan, saban minggu, ada saja perselisihan faham dan kontradiksi pendapat antara mereka berdua terhadap persembahan dan nyanyian pelajar-pelajar AF kerana seperti manusia lain, mereka ada hak menyuarakan pendapat dan tak salah jika mempunyai 'personal favourite' berdasarkan pendirian tersendiri.
Untuk musim terakhir ini, Murai sekali lagi menjemput kedua-duanya untuk menzahirkan pendapat dan kritikan terhadap AF9 melalui laman khas blog pengkritik kerana bagi portal Murai, bukan salah pelajar yang dicari tetapi lebih kepada elemen motivasi dalam memberi pilihan kepada pembaca untuk memahami konsep dan elemen yang diperlukan dalam melihat perkembangan setiap pelajar ini untuk menjadi penghibur.
Sesi fotografi kedua-duanya telah diadakan di Astro, Bukit Jalil dan nyata di sebalik perselisihan faham dalam artikel, kedua-duanya kelihatan sangat mesra di luar dan inilah yang dinamakan profesionalisme dalam kerjaya.
Kini tinggal 5 minggu lagi sebelum konsert akhir AF9 yang bakal menjadi tirai penutup kepada francais Akdemi Fantasia di Malaysia yang sebelum ini juga pernah mencipta fenomena di beberapa negara lain.
Untuk itu, pengalaman luas dalam bidang hiburan oleh BH dan KK amat diperlukan untuk mengulas dan memberi pendapat tentang bukan sahaja para pelajar, malah dari konsep pentas, gaya pengurusan produksi sehingga pelbagai elemen gimik yang perlu atau tidak ada dalam setiap konsert kerana itulah yang bakal menjadi rumusan kepada sepanjang 9 tahun program realiti ini bersiaran.
-murai.com.my-
0 comments:
Post a Comment